Tuesday, October 27, 2015

Malapetaka Demam Denggi melanda Asia !

  Mohd Shubhi       Tuesday, October 27, 2015
Nampaknya negara-negara Asia terutamanya Filipina, Myanmar, Malaysia, Taiwan, Thailand, dan Vietnam, teruk sedang dilanda malapetaka demam denggi sekarang ini.

Keadaan ini membuatkan kerja-kerja perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan di negara masing-masing berada dalam keadaan tertekan akibat permintaan terhadap rawatan pesakit demam denggi yang amat tinggi.

New Delhi, ibu negara India sekarang ini juga dilanda malapetaka demam denggi yang amat teruk. Kes demam denggi yang melarat akibat daripada gigitan nyamuk aedes di New Delhi sekarang mencatatkan kes paling teruk dalam tempoh 20 tahun.

Pasangan suami isteri bunuh diri anak mati demam denggi

Hospital berada dalam keadaan yang amat sibuk dengan jumlah pesakit yang terlalu ramai. Mereka mengalami demam panas yang tinggi, muntah-muntah dan juga kesakitan di seluruh pergelangan sendi. Semua itu merupakan tanda-tanda pesakit mengalami serangan demam denggi.

Satu kes berlaku di New Delhi di mana pasangan suami isteri telah terjun dari bangunan tinggi sehingga jatuh mati lanjutan daripada anak lelaki mereka yang berumur 7 tahun mati akibat demam denggi.

Menurut berita, anak lelaki mereka yang berumur 7 tahun tersebut diserang demam denggi dan pihak hospital tidak dapat menerima kemasukan kanak-kanak tersebut untuk rawatan. Kesemua hospital yang bandar tersebut penuh sesak dengan pesakit demam denggi, yang membuatkan kemasukan baru terpaksa di tolak.

Disebabkan tidak menerima rawatan, kanak-kanak 7 tahun itu menemui ajalnya. Dan kedua ibubapanya pula tidak dapat menerima hakikat tersebut lalu terjun bangunan membunuh diri.

Tiada ubat untuk demam denggi

Buat masa ini, demam denggi masih tidak mempunyai sebarang rawatan yang berkesan untuk membunuh atau mengawal virus yang membuatkan demam denggi berlaku.

Semua pesakit yang dimasukkan ke dalam hospital untuk rawatan demam denggi biasanya hanya dibiarkan rehat dengan diberikan minuman sebanyak mungkin. Pesakit juga diberikan ubat untuk mengurangkan demam panas dan ubat untuk melegakan sakit-sakit sendi.

Masalah demam denggi sekarang telah melanda di 125 buah negara di seluruh dunia. Jumlah tersebut itu lebih tinggi berbanding jumlah negara yang mempunyai masalah demam malaria, satu lagi masalah penyakit yang dibawa oleh nyamuk.

WHO melaporkan terdapat sebanyak 50 juta kes demam denggi berlaku setiap tahun di seluruh dunia. Jumlahnya mungkin 4 kali ganda lebih besar daripada itu disebabkan ada banyak kes-kes yang tidak dilaporkan.

Masalah demam denggi adalah masalah penduduk bandar. Ia berbeza dari masalah demam malaria yang lebih bertumpu kepada luar bandar.

Keadaan penduduk bandar yang semakin bertambah dengan jumlah penempatan yang semakin membesar memberikan sumbangan penting dalam peningkatan masalah demam denggi ini.

Nyamuk aedes membiak di sekitar kawasan perumahan seperti di kawasan pasu bunga dan di celahan struktur bangunan terlindung dan bertakung air.

Semua itu membuatkan kes demam denggi lebih mencabar untuk ditangani dan nampaknya kebanyakan kerajaan tidak mempunyai pelan jangka panjang untuk membenteras masalah demam denggi ini.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Malapetaka Demam Denggi melanda Asia !

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment