Monday, May 23, 2011

Teknik Mengawal Tikus - Siri 4

  Mohd Shubhi       Monday, May 23, 2011
Perlu diingat bahawa walaupun semua usaha yang telah diterangkan sebelum ini telah dilakukan bagi mengawal serangan tikus, akan ada juga tikus yang masih degil yang dapat membolosi bangunan rumah kita.

Maka bagi melengkapi keseluruhan kawalan, tidak dapat tidak teknik terakhir dalam mengurangkan atau menghapuskan tikus ini perlu dijalankan. Kawalan ini melibatkan usaha menangkap atau membunuh tikus melalui 2 cara:
  • Tangkapan atau menghapuskan tikus tanpa menggunakan bahan kimia.
  • Membunuh tikus dengan menggunakan racun atau bahan kimia.

Perangkap adalah satu cara kawalan tikus yang berkesan tanpa menggunakan sebarang racun. Bagi serangan tikus yang tidak banyak, penggunaan perangkap merupakan jalan penyelesaian yang cepat. Penggunaan perangkap juga dapat mengelakkan keadaan di mana tikus mati pada tempat yang tidak diketahui dan rumah kita dilanda dengan masalah bau bangkai yang busuk.

Berikut adalah antara sebab mengapa perangkap menjadi pilihan:
  1. Apabila kita tidak mahu menggunakan racun kerana khuatir kesan bahaya pada haiwan peliharaan atau kanak-kanak.
  2. Apabila kita khuatir racun akan menyebabkan makanan di rumah kita tercemar.
  3. Apabila tikus malu atau mengelak untuk makan umpan racun yang kita letak.
  4. Kita tidak mahu rumah kita dihantui bau busuk tikus yang mati termakan racun.


Terdapat banyak jenis perangkap tikus di pasaran. Yang biasa kita lihat adalah perangkap bidasan yang mengurung tikus apabila terkena. Ada juga perangkap bidasan yang membunuh tikus apabila terkena, tetapi perangkap jenis ini agak merbahaya terutamanya kepada kanak-kanak dan juga binatang peliharaan.

Satu lagi jenis perangkap yang berkesan tetapi agak jarang digunakan adalah perangkap gam. Sebidang kertas tebal akan disapu dengan gam khas untuk memerangkap tikus dan diletakkan pada laluan yang biasa diambil oleh tikus. Lebih elok diletakkan sedikit umpan di tengah gam tersebut. Biasanya teknik ini amat berkesan untuk memerangkap tikus yang degil.

Perkara yang perlu diberikan perhatian dalam penggunaan perangkap:
  • Sebelum memasang perangkap tikus, pastikan semua sumber makanan tikus dilenyapkan sebaik mungkin. Ini akan memaksa tikus merayau dan memasuki perangkap bagi mendapatkan makanan.
  • Pastikan perangkap bersih dan berfungsi dengan baik.
  • Simpan perangkap yang tidak digunakan dengan membungkus di dalam beg plastik bagi menghilangkan bau yang boleh menghindari tikus.
  • Jika ada tikus terperangkap atau mati pastikan anda tidak menyentuhnya dengan tangan tanpa perlindungan. Ini bagi mengelak dari berbagai penyakit bawaan tikus.
  • Perangkap yang disentuh oleh manusia akan meninggalkan bau manusia, kebiasaannya tikus tidak kisah dengan bau tersebut. Tetapi jika perangkap anda disentuh oleh haiwan seperti kucing atau anjing, ia mampu menghalau tikus dari menghampiri perangkap tersebut.


Usaha terakhir bagi menghapuskan tikus adalah dengan menggunakan racun tikus. Walau bagaimanapun penggunaan racun tikus adalah lebih baik dan selamat jika diserahkan pada pengendali khidmat kawalan makhluk perosak yang bertauliah.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Teknik Mengawal Tikus - Siri 4

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment