Tuesday, June 21, 2011

Bahaya Penggunaan Racun Serangga Tidak Berdaftar !

  Ano Nyme       Tuesday, June 21, 2011
Setiap racun berdaftar perlu ada Kelas yang menunjukkan
tahap bahayanya
Beberapa kematian dilaporkan di Dubai akibat daripada penggunaan atau aktiviti kawalan serangga perosak yang tidak berhati-hati.

Ada banyak kemungkinan yang menyebabkan orang ramai terdedah kepada bahaya. Pertamanya adalah disebabkan oleh penggunaan perkhidmatan syarikat kawalan serangga yang tidak bertauliah.

Undang-undang negara kita telah menguatkuasakan agar semua syarikat yang mengendalikan perkhidmatan kawalan serangga perosak perlu mendapatkan lesen pengendali.

Syarat bagi sesebuah syarikat itu mendapatkan lesen tersebut adalah dengan memastikan para pekerja syarikat mendapatkan latihan yang mencukupi dari segi keselamatan dan cara-cara penggunaan racun yang betul dan seterusnya mempunyai lesen pengendali atau pembantu pengendali.

Syarikat juga dikenakan syarat mempunyai lesen untuk membeli atau menyimpan atau menjual racun perosak terlebih dahulu sebelum layak memohon lesen sebagai sebuah syarikat yang bertauliah.

Semua syarat-syarat di atas dirangka bagi memastikan para pengguna terjamin keselamatan mereka dan tidak terdedah kepada risiko kemalangan dalam urusan kawalan serangga perosak dengan menggunakan racun.

Kemungkinan kedua adalah disebabkan penggunaan racun yang tidak berdaftar. Racun yang masuk ke negara kita yang mahu digunakan untuk dijual di dalam pasaran adalah diwajibkan didaftarkan terlebih dahulu.

Undang-undang ini adalah untuk memastikan segala maklumat mengenai racun tersebut diketahui terlebih dahulu sebelum layak digunakan oleh para pengguna. Namun begitu semenjak dua menjak ini banyak racun yang tidak berdaftar dijual di serata tempat terutamanya di pasar-pasar malam untuk orang ramai.

Tidak ada sesiapa yang tahu kandungan sebenar racun yang digunakan tersebut, malah penjual juga lansung tidak tahu apa yang mereka jual. Mereka cuma tahu ia amat berkesan untuk serangga perosak seperti lipas, tikus, semut dan lain-lain.

Jika tikus boleh maut kerana termakan racun tersebut, maka manusia juga tidak terkecuali untuk mendapat kesan yang sama seperti tikus. Kebanyakan racun seperti ini banyak yang diambil dari negara China yang kawalan racun tidak seketat kita di malaysia.

Jika apa-apa berlaku kepada pengguna hasil dari penggunaan racun tersebut, penjual boleh terlepas begitu saja kerana tidak ada sebarang rekod dalam penjualan.

Demi keselamatan para pengguna eloklah gunakan racun yang berdaftar atau gunakan syarikat kawalan serangga perosak yang bertauliah. Salah satu cara mudah untuk memastikan syarikat tersebut berlesen adalah dengan meminta nombor lesen pendaftaran syarikat terlebih dahulu sebagai rekod dan semakan dalam portal kementerian pertanian.

Baca laporan kematian yang berlaku di Dubai akibat dari racun serangga perosak di sini.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bahaya Penggunaan Racun Serangga Tidak Berdaftar !

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment