Tuesday, September 4, 2012

Kelawar disangka hantu!

  Ano Nyme       Tuesday, September 4, 2012
Saya terima satu panggilan baru-baru ini. Pemanggil bertanyakan cara untuk selesaikan masalah kelawar yang menjadikan rumah beliau sebagai tempat bersarang. Mereka sekeluarga baru berpindah ke rumah baru yang terletak di sekitar daerah Sepang.

Nampaknya sebelum mereka berpindah ke rumah baru tersebut, kelawar terlebih dahulu berpindah ke rumah mereka dan menjadikan rumah tersebut sebagai tempat penginapan mereka.

Apa yang melucukan adalah sejak berpindah mereka merasakan rumah tersebut berhantu kerana setiap malam akan ada bunyi mencuit-cuit datang dari atas siling rumah. Mereka merasakan itu merupakan bunyi hantu yang sengaja mahu mengganggu ketenteraman mereka.


Saya tak pasti pula samada mereka ada menggunakan khidmat bomoh hantu untuk menghalau kehadiran kelawar yang mereka sangkakan hantu itu. Tapi setelah beberapa lama, bau busuk mula mencucuk hidung di dalam salah satu bilik anak mereka.

Setelah disiasat rupanya ia datang dari taik kelawar yang bertenggek penuh di atas loteng rumah mereka. Barulah mereka sedar rupanya yang disangka hantu tersebut rupanya hanyalah sekumpulan kelawar yang menginap di atas loteng.

Mungkin berpandukan petua mengenai kawalan kelawar yang telah saya tulis sebelum ini, mereka segera memasang jaring bagi menghalang kehadiran kelawar masuk ke dalam rumah. Namun nampaknya ia tidak menyelesaikan masalah busuk dan kelawar tetap hadir di atas loteng.

Bagi menyelesaikan masalah di atas, kita hendaklah pastikan beberapa perkara terlebih dulu sebelum memasang jaring:

  1. Pastikan tidak ada kelawar di atas loteng terlebih dahulu sebelum memasang jaring. Biasanya kelawar ada di rumah kita pada waktu siang hari. jadi yang terbaik adalah memasang jaring pada waktu malam di mana kelawar keluar cari makan.
  2. Jika terpaksa juga memasang pada siang hari, halau kesemua kelawar terlebih dahulu dengan memasang lampu berkuasa tinggi pada kawasan tersebut atau sembur dengan bahan kimia yang sesuai. Ada juga yang menyembur dengan bahan kimia yang boleh membunuh kelawar, tapi ia mungkin tidak digemari oleh sesetengah pihak.
  3. Setelah kesemua kelawar keluar, jangan lupa membasuh terlebih dahulu segala najis yang tertinggal. Kehadiran najis jika dibiarkan boleh mendatangkan kesan yang buruk pada penghuni rumah. Terutamanya jika penghuni menghidapi masalah lelah yang teruk.
  4. Mula pasang jaring halus untuk menutup kesemua ruang masuk ke dalam siling rumah. Jangan ada ruang lansung yang memudahkan kelawar masuk semula.
Jika anda lakukan kesemua yang saya sebutkan di atas, insyallah masalah akan selesai. Selamat mencuba!
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kelawar disangka hantu!

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment