Kes demam denggi nampaknya menjadi-jadi sekarang ini. Ini bukti bahwa ancaman nyamuk Aedes berada pada tahap paling tinggi di negara kita. (sumber gambar)
Minggu ini saja ramai jiran dan kawan-kawan saya sendiri terkena serangan demam denggi. Hampir kesemua kawan-kawan dan juga orang lain yang terkena serangan demam denggi tinggal di kawasan perumahan atau kawasan bandar.
Jumlah kes demam denggi di negara kita nampaknya banyak tertumpu di kawasan bandar dan amat berkurangan di kawasan perkampungan. Selangor mencatatkan jumlah kes demam denggi paling teruk di negara kita dengan kebanyakan kes berlaku di kawasan perumahan.
Antara kawasan perumahan yang sedang panas dengan serangan demam denggi sekarang adalah seperti di Ara Damansara, Apartmen Perdana Seksyen 13, Kelana Puteri Kondo, dan Kondo Eksklusif Perdana di PJU8. Daerah Petaling nampaknya menjadi sarang nyamuk Aedes di mana berlaku banyak kes demam denggi.
Kenapa ancaman nyamuk aedes meningkat
Antara punca yang paling besar menyumbang kepada meningkatnya ancaman nyamuk aedes ini adalah kurangnya usaha membersihkan kawasan sekeliling rumah. Kerja pembersihan tidak menjadi amalan yang rutin di kalangan penduduk kawasan erumahan di kawasan bandar.Kalau ada keluarga yang rajin membersihkan kawasan rumah mereka, jiran pula buat hal. Jiran yang pemalas membuat pembersihan dan tidak bertegur sapa dengan jiran lain juga memberikan kesan yang tidak baik terhadap usaha melakukan pembersihan.
Tidak akan berkesan jika rumah kita saja yang bersih dan bebas dari menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes, sedangkan rumah jiran di kiri dan kanan tidak terjaga. Tak kan kita nak bantu masuk ke kawasan rumah jiran dan tolong bersihkan rumah mereka pula. Nanti dituduh menceroboh pula!.
Institusi kejiranan gagal, nyamuk aedes bertambah
Ada kaitan yang tinggi terhadap peningkatan nyamuk aedes dengan kegagalan institusi kejiranan di negara kita terutamanya di kawasan bandar.Jika dilihat kawasan kondo umpamanya, terlalu sedikit jiran yang mengenali jiran mereka yang lain. Masing-masing buat hal sendiri dan usaha mengumpulkan penduduk untuk kerja gotong royong di sekitar kawasan mereka biasanya gagal.
Begitu juga di kawasan taman perumahan lain, usaha untuk kumpulkan penduduk untuk kerja gotong royong pembersihan biasanya gagal. Mungkin berjaya diadakan, tapi sekadar setahun sekali saja. Sedangkan usaha pemberisihan perlu dilakukan secara konsisten jika kita mahu elakkan ancaman nyamuk aedes.
Data ancaman nyamuk aedes
Berikut data ringkas yang sepatutnya dapat membuatkan anda rasa takut dengan kes ancaman nyamuk aedes di kawasan anda tinggal sekarang terutamanya di Selangor:- 85 kematian direkodkan dalam tempoh 6 bulan tahun ini berbanding hanya 25 orang sahaja untuk tempoh sama tahun lalu.
- Peningkatan kematian sebanyak 228% berlaku tahun ini akibat kes demam denggi.
- Sebanyak 2,021 kes dilaporkan hanya dalam tempoh seminggi sahaja iaitu daripada 15 hingga 21 Jun baru-baru ini. Ini satu data yang menakutkan!
Apa yang pastinya adalah anda perlu sedar bahawa ancaman nyamuk aedes amat kritikal sekarang. Apatah lagi dengan cuaca panas dengan hujan sekali sekala, membuatkan keadaan menjadi sesuai untuk aktiviti pembiakan nyamuk.
Hentikan ancaman nyamuk aedes dengan bergiat aktif dengan aktiviti kejiranan anda sekarang juga. Ubah gaya hidup kera sumbang dan jadilah jiran yang mesra alam dan mesra kejiranan. Anda boleh rujuk sumber berita di sini.
bahaya nyamuk aedes ni..kena tingkatkan kebersihan di sekitar kawasan
ReplyDelete