Sunday, October 12, 2014

KKM menghadapi potensi penularan Ebola

  Mohd Shubhi       Sunday, October 12, 2014

STATUS KESIAPSIAGAAN DAN RESPON KKM

Situasi kejadian wabak penyakit virus Ebola (Ebola virus disease; EVD) yang melanda beberapa buah negara di Afrika Barat masih dipantau secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Situasi tersebut masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk reda. Beberapa kes telah mula dilaporkan di luar Afrika seperti kes import pertama di Amerika Syarikat yang dilaporkan pada 24 September 2014 dan terkini pada 6 Oktober 2014 di Sepanyol melibatkan seorang anggota kesihatan. 

Sehubungan itu, KKM akan terus memperkukuhkan tahap kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan penyakit EVD ke dalam negara.
KKM menghadapi potensi penularan Ebola

Fahami dengan jelas kes PUI EVD

Adalah amat penting semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta yang terlibat dalam pengurusan kes jangkitan EVD memahami dengan jelas definisi kes PUI (Person Under Investigation) EVD atau disyaki EVD yang digunakan.

Ini adalah untuk memastikan pengamal perubatan dapat mengenalpasti kes PUI EVD, merujuk kes disyaki ke hospital yang dikenalpasti untuk pemeriksaan dan rawatan selanjutnya.

Langkah-langkah pencegahan dan kawalan sewajarnya adalah penting bagi mencegah sebarang penularan kes EVD dalam negara. Definisi kes PUI-EVD yang digunakan melibatkan kriteria dari aspek klinikal dan epidemiologikal.

Dari aspek klinikal

Ia meliputi pengesanan gejala demam dengan gejala tambahan seperti sakit kepala, sakit otot, muntah, cirit birit, sakit perut atau pendarahan.

Aspek epidemiologikal

Iaitu sejarah risiko pendedahan sepanjang tempoh 21 hari sebelum individu terbabit mula bergejala, seperti berikut:

  1. Mempunyai kontak langsung dengan cairan badan atau mayat individu lain yang diketahui menghidap EVD atau disyaki menjangkiti penyakit tersebut
  2. Mempunyai sejarah perjalanan atau merupakan masyarakat dari tempat yang melaporkan penularan jangkitan EVD yang aktif
  3. Terlibat dalam mengendalikan secara langsung kelawar atau sebarang jenis haiwan lain yang berpotensi menyebabkan jangkitan di kawasan endemik EVD.

Kes definisi ini digunakan untuk mengenalpasti PUI EVD (disyaki EVD) tidak hanya terhad kepada warga Afrika tetapi juga warganegara Malaysia atau warganegara lain yang mempunyai sejarah tinggal, bekerja atau melawat ke negara dijangkiti.

Negara terjejas jangkitan Ebola

Buat masa ini negara-negara yang paling terjejas dengan jangkitan (senarai negara terlibat akan disemak dari semasa ke semasa berdasarkan laporan daripada pihak WHO) adalah:-

  1. Guinea
  2. Liberia
  3. Sierra Leone
  4. Nigeria

Hospital rujukan kes PUI-EVD

KKM telah mengenalpasti sebanyak 21 buah hospital dari seluruh negara untuk menerima rujukan kes PUI-EVD untuk tujuan pengurusan awal dan pengesahan jangkitan.

Bagi kes yang disahkan positif jangkitan EVD melalui ujian makmal pula, akan dirawat di tiga (3) buah hospital khas yang dikenalpasti iaitu

  1. Hospital Sungai Buloh bagi Semenanjung Malaysia
  2. Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu Sabah dan 
  3. Hospital Umum Kuching Sarawak

Sebanyak 20 makmal di hospital dari seluruh negara telah dikenalpasti untuk menjalankan ujian rutin bagi pengurusan kes PUI-EVD.

Manakala sebanyak tiga (3) makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan EVD iaitu

  1. Institut Penyelidikan Perubatan (IMR)
  2. Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh
  3. Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu

Simulasi persediaan hadapi Ebola

KKM juga sentiasa menilai status kesiapsiagaan dan respons dari semasa ke semasa dengan mengadakan latihan simulasi di pelbagai peringkat KKM di mana buat masa ini empat (4) sesi latihan simulasi telah diadakan dan terkini latihan simulasi EVD yang dianjurkan oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) peringkat Western Pacific Regional Office pada 8 Oktober 2014.

KKM mempertingkatkan kerjasama rapat dengan berbagai kementerian dan agensi yang berkaitan (multi-sectoral collaboration) dalam usaha mencegah penularan penyakit EVD ke dalam negara.

Terkini pada 8 Oktober 2014 satu mesyuarat interagensi telah diadakan yang dipengerusikan oleh YB Menteri Kesihatan Malaysia bagi menerangkan situasi semasa wabak EVD dan peranan yang boleh dimainkan oleh setiap agensi yang berkaitan bagi membantu KKM dalam mencegah kemungkinan jangkitan dan penularan EVD di Malaysia.

Sekian dan terima kasih.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
12 Oktober 2014 sumber
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, KKM menghadapi potensi penularan Ebola

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment