Friday, January 2, 2015

Bagaimana buat pemeriksaan anai-anai di rumah anda

  Mohd Shubhi       Friday, January 2, 2015
Bagaimana buat pemeriksaan anai-anai di rumah anda
Anai-anai ada di mana-mana saja kawasan yang bertanah. Tak kira di mana anda tinggal samada di bandar atau di kampung, anai-anai pasti ada.

Ramai yang beranggapan bahawa oleh kerana kawasan perumahan tempat tinggalnya merupakan bekas kawasan ladang kelapa sawit, maka di situ pasti ada banyak anai-anai. Dan bagi orang yang kawasan tempat tinggalnya adalah bekas lombong, maka tentu tak ada anai-anai.

Anggapan seperti di atas tidak semestinya betul. Anai-anai boleh saja ada di kawasan perumahan yang merupakan bekas kawasan lombong. Dan kadang kala ada rumah yang pangsung tak pernah kena serangan anai-anai walaupun disitu adalah bekas kawasan ladang kelapa sawit.

Semuanya berpunca daripada sifat pergerakan anai-anai yang mencari makan secara rawak. Daripada sifat itu, maka anai-anai boleh saja sampai di mana saja tempat anda tinggal samada kawasan itu tak pernah ada anai-anai sebelum ini atau dah pernah ada.

Apa tanda rumah anda ada anai-anai

Oleh itu, amat penting untuk anda tahu serba sedikit bagaimana nak kesan kehadiran anai-anai di dalam atau luar serta sekitar rumah anda. Dengan sedikit pengetahuan berkenaan teknik mengesan kewujudan anai-anai ini, anda dapat bertindak lebih awal sebelum lebih banyak kerosakan dilakukan oleh anai-anai.

Berikut adalah tanda-tanda yang dapat menunjukkan bahawa ada kehadiran anai-anai di rumah anda:

  • Kehadiran kelkatu. Samada anda melihat adanya kelkatu ataupun anda terjumpa sayap-sayap yang ditinggalkan oleh kelkatu, itu merupakan tanda bahawa ada aktiviti anai-anai di sekitar kawasan rumah anda. Jika anda rajin, elok cari dari mana datangnya kelkatu tersebut. Kelkatu biasanya keluar daripada koloni anai-anai yang telah melebihi had jumlah populasinya.
  • Kehadiran tanah lembab. Anai-anai tidak tahan dengan kekeringan dan cahaya. Oleh itu biasanya mereka akan membina lorong kecil yang diperbuat daripada tanah yang lembab. Pilihan utama anai-anai adalah membina lorong di dalam dinding kayu atau batu. Jika tidak ada pilihan, mereka akan keluar dan membina lorong diluar dengan binaan lorong tanah lembab tersebut.
  • Kayu berubah warna. Jika anda lihat kayu pada dinding atau bumbing atau siling rumah telah berubah warnanya, ia berkemungkinan telah dimakan oleh anai-anai. Ianya lebih ketara jika kayu tersebut telah disapu dengan varnish.
  • Kayu atau dinding terlopong kosong. Ini satu lagi kesan ketara berlaku pada kayu yang telah dirosakkan oleh anai-anai. Bila diketuk akan keluar bunyi menunjukkan bahawa ada ruang kosng di dalam katu tersebut. Biasanya anai-anai akan makan kayu bahagian dalam dan meninggalkan lapisan nipis sahaja pada bahagian luaran kayu.
  • Terjumpa anai-anai hidup. Sudah tentu jika anda berjumpa anai-anai hidup, menunjukkan rumah anda sedang diserang oleh anai-anai. Tetapi jika tiada anai-anai hidup ditemui, ia belum tentu bermakna tiada anai-anai di dalam rumah atau primis anda. Anai-anai yang ditemui biasanya bila anda buka tempat sembunyi atau lorong tanah yang dilaluinya. Biasanya anda akan jumpa samada askar atau pekerja.

Demikianlah sedikit sebanyak tanda-tanda yang boleh anda kesan untuk buat pemeriksaan anai-anai di rumah anda tinggal sekarang.

Yang paling utama pastikan anda tahu bagaimana rupa anai-anai dan apa bezanya antara anai-anai dengan semut atau serangga lain.

Pastikan juga anda dapat bezakan antara anai-anai askar dengan anai-anai pekerja. Kedua-dua kasta anai-anai tersebut amat berbeza dari segi rupa terutamanya pada bahagian kepala. Saiz mereka juga amat berbeza.

Untuk buat pemeriksaan anai-anai di rumah, anda perlukan cahaya yang terang untuk dapat melihat kehadiran anai-anai. Ini bermakna anda perlu pergi hampir pada kawasan yang mahu diperiksa.

Oleh itu sila jaga keselamatan diri. Pakailah tangga yang selamat dan jika terpaksa merangkak pada kawasan yang sempit, pastikan keadaannya selamat dan ada orang yang tahu apa yang anda sedang lakukan. Sila bawa lampur suluh yang terang untuk melihat dengan jelas.
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Bagaimana buat pemeriksaan anai-anai di rumah anda

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment