Monday, July 27, 2015

Kenapa gantung air dalam plastik dapat halau lalat

  Mohd Shubhi       Monday, July 27, 2015
Mungkin anda pernah lihat ada pengusaha restoran yang menggantungkan beg plastik berisi penuh dengan air di dalam restoran mereka.

Kenapa agaknya tuan punya restoran itu berbuat begitu ?

Untuk anda yang tak tahu lagi kenapa, tujuan gantung beg plastik yang penuh air tersebut adalah untuk menghalau lalat daripada membuat gangguan di dalam kedai makannya itu.

Teknik ini terbukti berkesan untuk menghalau lalat dari terus membuat gangguan terbang ke sana sini di dalam kedai makan terutamanya.

Dan lalat dapat dikawal dengan di halau tanpa perlu membunuh lalat tersebut.

Adalah amat penting untuk menghalau lalat agar tidak berterusan berkeliaran di dalam mana-mana kedai makan. Kerana jika anda tak halau lalu keluar dari kedai makan, anda sebenarnya akan menghalau pelanggan dari datang ke kedai makan yang anda usahakan.

Cara biasa kawal lalat dalam restoran

Biasanya kita boleh lihat para pengusaha restoran akan meletakkan sekeping kertas yang disalut dengan gam di atas meja atau kawasan yang ada banyak lalat.

Kebanyakan tempat yang menjalankan perniagaan menjual ikan seperti di pasar atau kedai runcit menjual barangan basah suka memilih teknik ini. Ada juga pengusaha kedai makan yang buat cara ini.

Teknik itu memang berkesan mengurangkan jumlah lalat yang berterbangan. Tapi ada sedikit kesan yang kurang baik apabila kita gunakan cara itu.

Tempat di mana kita letakkan kertas bersalut gam itu kelihatan menjijikkan apabila lalat dengan banyaknya melekat di segenap penjuru kertas itu.

Ada lalat yang masih hidup mengeluarkan bunyi dan kelihatan bergerak-gerak atas kertas, menambahkan lagi rasa jijik.

Jika kita gunakan teknik itu di restoran terutamanya, ia membuatkan para pelanggan menjadi tidak selesa.

Ada juga pengusaha restoran yang menggunakan cara meletakkan lampu neon biru untuk memusnahkan lalat. Lampu neon itu berfungsi untuk menarik perhatian lalat pergi ke bahagian lampu tersebut.

Apabila lalat masuk ke ruang lampu, ia akan terkena kejutan elektrik dan mati di situ juga. Jika lalat cukup besar dan jika anda berada tidak jauh dari kawasan lampu tersebut, akan dapat mencium bau garing lalat kena panggang.

Kadangkala, kuasa letrik yang terlalu kuat membuatkan anggota lalat bertaburan jatuh ke bawah. Ini juga tidak digemari oleh pengunjung yang berada di situ. Apatah lagi jika pengunjung sedang makan.

Gantung beg plastik berisi air halau lalat

Jika anda setuju cara yang disenaraikan di atas tidak berapa sesuai untuk halau lalat di restoran atau kedai anda, maka boleh gunakan cara menarik dan murah ini.

Anda hanya perlu dapatkan beg plastik lutsinar jernih sederhana besar. Isikan air penuh separuh ke dalam beg lutsinar itu dan ikat supaya ia kelihatan menggelembung penuh. Sebelum itu, masukkan dua atau tiga keping duit siling ke dalam beg yang berisi air tersebut sebelum diikat.

Kemudiannya anda cari tali sedikit panjang, ikat pada tangkai beg plastik itu dan bolehlah menggantungkan beg plastik berisi air di tempat yang sesuai.

Pastikan tempat yang anda gantung itu penuh bercahaya samada cahaya lampu atau cahaya matahari. Buat sebanyak mungkin jika kedai anda diserang banyak lalat.

Kenapa cara itu dapat halau lalat

Ada penerangan saintifik yang boleh diberikan kenapa cara itu boleh membantu anda halau lalat tanpa perlu membunuhnya. Anda tak perlu guna cara gam atau elektrik atau racun.

Mata lalat amat unik. Ia terdiri daripada jenis mata majmuk yang memenuhi kepala lalat tersebut. Dengan mata jenis itu dia mampu melihat di semua arah. Sebab itu amat sulit untuk memukul lalat kecuali anda mempunyai kelajuan yang amat tinggi.

Ada satu lagi mata lalat tambahan yang disebut Ocelli. Ia berfungsi untuk mengesan seperti kompas dan memberikan maklumat pada lalat mana nak lari. Ocelli ini menggunakan cahaya untuk mengesan biasan objek yang ada di sekelilingnya. Lagi terang cahaya lagi mudah untuk ia mengesan objek.

Apabila air di masukkan ke dalam plastik lutsinar, akan berlaku banyak biasan cahaya. Ini kita dah belajar masa sekolah dahulu macam mana cahaya akan terbias setiap kali melalui air atau kaca prisma.

Biasan demi biasan cahaya lampu atau matahari yang masuk dan keluar beg plastik berisi air ini membuatkan lalat keliru adanya objek diserata tempat bergerak. Dia akan bertindak lari dan lari menjauhi kawasan yang digantung beg plastik dengan penuh air tersebut.

Cubalah !
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, Kenapa gantung air dalam plastik dapat halau lalat

Previous
« Prev Post

1 comment:

  1. Menariknya penjelasan saintifik begini. Memang selalu nampak beg plastik gantung air terutama kedai makan di kawasan kampung.

    ReplyDelete