Monday, February 24, 2014

3 prinsip asas kawalan lalat

  Ano Nyme       Monday, February 24, 2014
Kali ini saya mahu kongsikan tips bagaimana kawalan lalat dapat dilakukan. Sebelum ini kita telah melihat bagaimana tabiat makan lalat dan juga di mana lalat membiak.

Ada juga beberapa artikel sebelum ini berkenaan lalat yang telah dibuat sebelum ini. Jika anda mahu membacanya, boleh tengok artikel Kenali Lalat dan juga Bagaimana mengawal lalat di rumah anda.

Adalah penting untuk mengenali serba sedikit berkenaan lalat sebagai musuh kita agar usaha untuk menghapuskannya dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

Lebih banyak yang kita tahu berkenaan lalat, maka lebih mudahlah kita mencari jalan bagaimana untuk menghapuskan lalat.

Saya ada mendapat pertanyaan daripada pembaca blog ini bagaimana mahu mengawal lalt di kedai. Untuk memberikan penerangan yang lebih mudah, maka saya buat artikel ini bagi menjawab soalan daripada pembaca tersebut.

Berikut disenaraikan 3 prinsip asas kawalan lalat di premis kita. Tips yang diberikan ini boleh diguna pakai samada di rumah maupun di kedai, jika nada seorang peniaga restoran.

#1. Kawalan lalat melalui sanitasi

Jika kita semak kesemua asas bagi mengawal apa saja serangga dan juga makhluk perosak yang berkaitan dengan kesihatan, kaedah paling awal yang akan ditekankan adalah kaedah sanitasi.

Tidak ada perkara lain yang paling utama dalam membenteras lalat secara sempurna melainkan perlu adanya sikap menjaga kebersihan persekitaran premis kita. Persekitaran yang bersih perlu diadakan samada di dalam bangunan maupun di sekeliling persekitaran bangunan.

Pastikan semua kemudahan untuk pelupusan sampah disediakan dipremis kita. Carilah satu kaedah yang berkesan untuk melupuskan sampah yang telah kita kumpulkan. Sediakan juga satu tempat khas untuk mengumpul sampah dan jangan biarkannya berterabur ikut suka hati.

Segala bahan organik yang menapai atau mereput tidak boleh ada di persekitaran premis. Ini boleh menghapuskan daya tarikan lalat menuju ke kawasan yang ada bahan-bahan organik tersebut. Ambil perhatian pada jenis baja yang anda gunakan, jika anda ada kebun bunga.

Masukkan bahan buangan ke dalam beg plastik terutamanya bahan buang makanan. Simpan dengan kemas dalam tong yang bertutup dan pastikan kawasan simpanan sampah kering dan tiada takungan air. Jika semua keadaan premis anda kering dan tidak busuk, sudah pastinya lalat tidak suka untuk datang ke tempat anda.

#2. Kawalan lalat secara penyisihan

Kadangkala, mungkin persekitaran rumah kita sempurna kering dan bersih. Tetapi malangnya kita tidak dapat mengawal tindak tanduk jiran atau premis yang bukan milik kita. Oleh itu lalat tetap muncul juga walaupun jumlahnya tidak banyak. Jika ini berlaku, kita sudah tentu tidak dapat mengawal lalat dari masuk ke kawasan luar bangunan di premis kita.

Namun begitu, kita masih boleh menghalang kemasukan lalat ke dalam premis dengan menggunakan teknik penyisihan. Ertinya membuat penghalang pada tingkap atau pintu serta lain-lain bukaan yang boleh membawa masuk lalat ke dalam bangunan.

Jika anda mahu pasang skrin pada tingkap atau bukaan lain di rumah, pastikan jenis bukaan keluar dan bukannya bukaan masuk. Sebaiknya, samada pintu atau tingkap, elok jika semua bukaan tersebut menghadap matahari. Ertinya, samada rumah kita menghadap matahari naik ataupun matahari turun. Ini memberikan kilauan yang tidak disukai oleh lalat. Seterusnya dapat mengurangkan kemasukan lalat ke dalam bangunan.

Anda juga boleh pasang jaringan pada tingkap dan pintu. Buat jaringan seperti langsir dengan menggunakan manik yang berkilat. Seeloknya manik berbentuk bujur dan saling rapat antara satu dengan yang lain. Dengan adanya manik berkilat sebagai langsir, dapat menghalang lalat dari merapai kawasan bukaan.

Satu lagi teknik mudah adalah dengan memasang kipas angin yang menghadap pada bukaan dan menghembus angin keluar pintu atau tingkap. Ini juga dapat menghalang kemasukan lalat ke dalam bangunan. Biasanya hotel atau restoran memasang sejenis kipas elektrik halaju tinggi di atas pintu masuk bangunan untuk menghalang kemasukan lalat dan juga serangga terbang lain.

#3. Kawalan lalat tanpa bahan kimia

Sebaik-baiknya, kita hendaklah mengelak daripada penggunaan bahan kimia yang banyak dalam apa saja urusan kita. Ia tidak bagus untuk alam sekitar dan kesihatan. Oleh itu pendekatan mengawal lalat tanpa bahan kimia perlu dipertimbangkan dengan serius untuk menjayakan matlamat itu.

Kita boleh menggunakan peralatan perangkap cahaya ultraungu untuk memerangkap lalat yang mengacau di premis kita. Perangkap lalat yang menggunakan bahan lekit juga cukup bagus terutamanya jika anda mahu letakkan pada kawasan yang ada makanan.

Satu lagi cara biasa yang semua orang biasa amalkan adalah dengan menggunakan alat memukul lalat. Pastikan anda ada menyimpannya satu atau dua di dalam rumah atau restoran anda. Memang seronok memukul lalat dengan alat pemukul itu.

Mungkin anda boleh cuba berikan alat pemukul lalat pada semua pelanggan restoran anda seorang satu untuk membunuh lalat yang singgah pada meja makan mereka. Ia tentu amat menyeronokkan.

Demikianlah 3 cara asas kawalan lalat yang boleh anda aplikasikan bagi mengawal masalah serangan lalat di premis anda. Selamat mencuba. sumber gambar

Jika anda ada masalah lalat atau serangga lain seperti lipas dan sebagainya di restoran atau rumah dan mahukan kawalan dari syarikat pest control yang bertauliah, sila hubungi En Redwan di talian 016-2060 136
logoblog

Terima Kasih kerana membaca, 3 prinsip asas kawalan lalat

Previous
« Prev Post

No comments:

Post a Comment